Saturday, May 10, 2008

Pengenalan Kem KPerak Kidz

Masyarakat kita kini mulai sedar mengenai kepentingan MODAL INSAN untuk pembangunan sahsiah dan demi kemajuan negara bersama. Atas kesedaran inilah, pihak KPerak INC Corporation menyahut seruan ini dan tidak mahu sama sekali ketinggalan dalam menyumbangkan sesuatu yang positif dan optimis demi memupuk jatidiri cemerlang bermula dari peringkat kanak-kanak lagi selaku pewaris bangsa suatu hari nanti.

Keperluan dalam menuntut ilmu pada masa kini, tidak mengira jarak mahupun sempadan daerah dan waktu. Lantaran itu juga, pelbagai idea baru wujud dalam konteks pembelajaran yang mana kemudahan menuntut ilmu perlu dibawa kepada masyarakat khususnya kepada mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.

Program seumpama ini menjadi titik tolak kepada KPerak INC Corporation untuk menjadi Penggerak ICT dikalangan masyarakat Khususnya bagi pelajar-pelajar di Negeri Perak ini. Inisiatif KPerak 2010 untuk merapatkan jurang kemiskinan digital antara masyarakat Perak akan menjadi realiti dengan adanya Program-program masyarakat seumpama ini.

Program Kem KPerak Kidz merupakan program kesedaran pembelajaran dan kesedaran ICT kepada pelajar-pelajar luar bandar dan juga pelajar-pelajar Orang Asli di Negeri Perak. Penerapan konsep pembelajaran berterusan dalam diri pelajar dan guru-guru, ia mampu membantu meningkatkan penggunaan ilmu ICT dalam kehidupan seharian.